Jawapan Latihan Pemenggalan Ayat
- Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita sejak beberapa lama dulu. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan yang berpunca daripada kegiatan manusia yang berburu sesuka hati mereka dan kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran dan penyelidikan terhadap hidupan liar.
- Televisyen merupakan salah satu media sebaran am yang direka untuk memberikan manfaat kepada manusia dalam pelbagai aspek. Malangnya, akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula lalu pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah dilakukan. Hasil penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat namun malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut dan menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang dipaparkan.
- Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen yang disiarkan oleh RTM dan TV3. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat yang membimbangkan ibu bapa kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja. Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik dan buruk.
- Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer untuk para pelajar di negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan yang begitu ketara sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari komputer serta dapat menarik minat pelajar mendalami bidang komputer juga.
- Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku yang tergolong dalam jenis novel kanak-kanak dan dikarang oleh Darulsalam yang juga merupakan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya yang bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari namun nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.
- Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat sejak beberapa tahun yang lalu. manakala kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan tetapi dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.
- Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius yang mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia iaitu dengan memperlakukan bumi sewenang-wenangnya untuk mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil seperti peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan