Ahad, 5 Mac 2017

Sambutan Hari Jadi

Assalamualaikum dan salam 28 Februari

Hari ni aku nak cakap pasal hari jadi aku. Sambutannya, lebih tepat.
Aku bukanlah seseorang yang suka mengucapkan 'selamat hari jadi' kepada orang. Aku tidak menganggap ia sebagai tugas dan tanggungjawabku, terutamanya apabila hari jadi itu kepunyaan orang dalam kelompok kawan. Lebih-lebih lagi, ucapan yang bukan secara langsung atau 'face to face'.

Jadi, apabila rakan-rakanku mengucapkannya di group Whatapps, aku berasa terharu. Ok cukup tentang sambutan itu. Aku sebenarnya ingin menceritakan tentang emak aku. Terharu kot dapat mak macam ni. Kawan-kawan mak aku pun menggelarkan dia sebagai ibu mithali. Kau tahu ibu mithali tu apa? Ibu mithali tu ibu contoh, yang terbaik dan sangat pemurah. Mak aku lah tu.

Biasalah, kalau hari jadi anak, para ibu akan membelikan kek dan menyambutnya dengan meriah. Mak aku pun macam tu. Jadi, kenapa aku terharu sangat? Sebab mak aku bukan macam mak-mak yang lain. Dia buat memang macam betul-betul dia nak buat. Kadang-kadang aku rasa macam baki hidup dia ni hanyalah untuk menggembirakan hati orang di sekelilingnya, termasuklah anak-anak. Jadi, berlakulah perkara yang agak lucu yang mana aku memberikan ceramah kepadanya agar mengutamakan diri sendiri dahulu. Kalau teruskan apa yang dia lakukan, aku takut dia kecewa. Bukan sebab orang lain, tapi sebab takut aku dan kakak aku ni tergolong dalam anak derhaka. Tak dapat khusnul khatimah. Uish aku berlindung dengan Allah daripada menjadi golongan rugi tu.

Maka, dia membelikan kek dan makanan yang sedap-sedap belaka untuk aku. Terima kasih mak!
Aku akan membuatkan kau bangga dan rasa tak sia-sia dapat anak macam aku.

MTP

Assalamualaikum dan salam 27 Februari

MTP. Majlis Tertinggi Pelajar. Aku dah pernah sentuh tentang ini dalam entri aku yang lain.
Aku tak faham cara berfikir sesetengah orang. Ye lah, mustahil untuk faham semua orang sebab masing-masing pun ada corak berfikir yang tersendiri.

Pada petang Isnin ni, tertulis 'PREP' pada jadual sekolah aku. Namun, ia diisi dengan perjumpaan MTP. Aku, berbekalkan alatan untuk menyiapkan tugasan pergi awal ke perjumpaan, 15 minit lebih awal. Sebenarnya bukan sengaja pun, kami memang perlu mengosongkan asrama sebelum waktu perjumpaan.

Janji manusia, haih. Aku pun manusia, dan pernah memungkiri janji. Sebab itulah aku elakkan beremosi pada sesuatu kerana takut aku juga akan melakukan perkara yang sama, melainkan pada perkara yang aku agak yakin bahawa prinsip aku tetap padanya.

Pejam celik pejam celik, tinggal kurang enam bulan lagi sebelum kami meletakkan jawatan sebagai pemimpin para pelajar. Aku mengira-ngira apa sumbanganku kepada para pelajar sebagai Naib Presiden 2?

Perasaan bercampur-baur saat aku diingatkan semula tentang hal peletakan jawatan bagai ni. Nampaknya aku perlu berusaha lebih lagi kerana ini mungkin menjadi peluang seumur hidup.

MPB

Assalamualaikum dan salam 24 Februari

Minggu ini merupakan minggu pulang bermalam. Tak tahu apa itu?
Ia adalah minggu yang menyeronokkan. Kerana kau boleh pulang ke mana-mana sahaja. Dah namanya pulang, jadi mestilah ke rumah bukan? Bermalam, bermakna kau boleh tidur di rumah. Ahh, rumahku syurgaku.

Namun begitu, aku memilih untuk tidak pulang. Kenapa? Sebab aku sudah banyak kali pulang ke rumah pada tahun pertama aku di sini. Tambahan pula, ini merupakan tahun terakhir aku. Bukanlah aku ingin meluangkan masa dengan manusia-manusia di sini, tetapi ia lebih kepada suasana Permata itu sendiri. Aku pasti akan merindukan suasana ini. Lagipun, aku tidak akan membuat perkara yang berfaedah di rumah. Masa di rumah kelihatan sekejap sahaja berbanding di Permata. Aku tidak yakin aku dapat menolak pengaruh-pengaruh negatif kat situ, seperti televisyen, sofa, katil dan peti sejuk. Ia menjadi negatif apabila disalahgunakan. 

Hari Jumaat, penghulu segala hari. Hari ini jugalah menjadi saksi kepada aku yang membuat perancangan bagi hujung mingguku.
Rancanglah masa lapang anda dengan perkara yang bermanfaat kerana syaitan sudahpun ada perancangan bagi anda.
Aku sering teringat akan ayat ini. Jadi, aku sentiasa merancang. Sama ada ia terjadi atau tak, itu perkara kedua. Tanpa perkara pertama ini, aku akan membazir masa.

Tahun Baru Cina

Assalamualaikum dan salam 23 Februari

Sambutan dimulakan dengan pembahagian kumpulan. Aku secara jujurnya menghadapi sedikit kesusahan pada awalnya. Aku tidak tahu kumpulanku dan ia menyusahkan ahli jawatankuasa 'explorace'. Aku rasa bersalah namun apakan daya, kerana kelembapan internet aku terlupa untuk menyemak senarai kumpulan yang telah diberikan di 'Whatapps'. Oleh kerana kelajuan internet yang tidak begitu memberangsangkan, aku membatalkan hasrat untuk menyemak dan terlupa mengenainya. Pada pagi itu, aku bersama sekumpulan pelajar yang lain, dengan 'tak tahu hala tuju' dicop di kepala, berjumpa dengan ahli jawatankuasa bagi menyelesaikan masalah ini. Akhirnya, kumpulan 12 menjadi keluarga sementaraku.

Tidak banyak beza dengan aturcara sambutan Tahun Baru Cina pada tahun-tahun sebelumnya, explorace ini mempunyai 8 stesen. Antaranya 'paper cutting', 'tongue twister', catur Cina, karaoke, kaligrafi, origami, pokok ceri dan melukis pokok buluh. Pada tahun ini, aku menulis chun yang bermaksud musim bunga dalam bahasa Cina. Aku cuba buat yang terbaik pada setiap stesen kerana ini merupakan sambutan Tahun Baru Cina terakhirku sebagai pelajar Kolej PERMATApintar UKM.

Jadi, sebenarnya apa yang ingin aku sampaikan ialah aku rasa hasil daripada stesen 'paper cutting', kaligrafi, pokok buluh dan origami, agak cantik. Pada pandangan akulah. Pada tahun ini juga, aku membuat origami ayam memandangkan tahun ini merupakan tahun ayam dalam kalendar Lunar.

Pada petangnya pula merupakan acara yang aku tunggu-tunggu iaitu majlis penutupan. Bukan apa, pada majlis penutupan inilah adanya cabutan bertuah, persembahan dan tayangan video. Seronok sekali apabila melihat kawan-kawanku berlakon dalam video tersebut. 

Sepanjang program pada hari ini, satu benda terngiang-ngiang dalam fikiranku 
Tahniah kawan. Usaha kau untuk menjayakan sambutan Tahun Baru Cina ini membuahkan hasil.
Program ini merupakan hasil kerjasama antara pelajar Asasi Pintar dan pelajar Kolej dengan bantuan guru. Minggu ini juga dikenali sebagai Minggu Sukantara. Kawanku yang terlibat untuk sambutan ini perlu membahagikan komitmennya. Tahniah, kawan.

Keyakinan

Assalamualaikum dan salam 17 Februari

Merentas Desa / Kampus
Merentas kampus terakhir bagi aku. (memang banyak perkataan terakhir dalam blog aku). Perkataan ini memupuk rasa bersyukur dan sekaligus menyebabkan aku menghargai saat-saat ini. Tidak seperti tahun sebelumnya, hampir dua minggu sebelum merentas kampus, aku bersama rakan-rakanku yang lain turun riadah pada setiap petang. Ye lah, untuk membiasakan tubuh badan. Aku agak yakin dan sangat mengharap untuk mendapat tempat 10 yang pertama bagi keseluruhan pelajar perempuan Tahap Satu dan Dua. Keyakinan yang tiba-tiba ada tu adalah disebabkan perasaan aku yang mengatakan tiada banyak persaingan hebat dan aku ni ada bakat yang terpendam. Ok, bukan bakat tetapi daya ketahanan. 

Betul ke telahan aku ini?

Aku ingin membuktikannya dan memilih jawapan 'ya' sebagai destinasi. Namun sayang seribu kali sayang, aku gagal. Ada beberapa faktor yang aku fikir muhasabah yang menjadi sebab-sebab kegagalan aku. Satu benda yang aku dapat daripada kegagalan ini ialah,
Jikalaulah faktor-faktor kegagalan itu tiada, adakah aku akan mendapat jawapan 'ya'?
 Apa sebabnya?
Tak perlulah tahu. Lagipun, aku sedang malas dan ngantuk tahap gaban untuk menaip papan kekunci ini. Aku tidak berpuas hati. Ya, tidak puas hati, dengan keputusan ini. Tapi, aku tetap bersyukur. Bersyukur itu penting, kawan-kawan.

Teruja

Assalamualaikum dan salam 16 Februari
(ha.ha.ha)

Aku teruja.
Begitu banyak perkara yang bukan kelaziman aku akan berlaku dalam masa yang terdekat ini. Program khidmat masyarakat, merentas desa, hari jadi aku (yeah), hari jadi ayah aku (yeah juga)., Hari Sukantara dan sambutan Tahun Baru Cina.

Untuk perkara yang pertama, aku cuba untuk tidak serabutkan pemikiranku dengan persiapan-persiapan yang perlu dilakukan. 
Untuk perkara yang kedua, aku cuba berusaha sedaya-upaya memandangkan tahun 2017 ialah tahun terakhir aku sebagai pelajar Kolej PERMATApintar UKM.
Untuk perkara yang ketiga, aku hampir lupa kerana dua perkara di atas.
Untuk perkara yang keempat, aku lupa. (ha...ha...ha...)
Untuk perkara yang kelima, aku mempersiapkan ketahanan mental dan fizikal serta suara. Dan juga alat-alat untuk rasa kurang bersalah kerana tidak banyak menyumbang kepada rumah sukan.
Untuk perkara yang keenam (terakhir), aku teruja untuknya. Sambutan terakhir 


Kelam-kabut

Assalamualaikum dan salam 15 Februari

Agak kelam-kabut hari ini. Hari ini merupakan Hari Kerjaya. Hari yang aku lambat maklum akan kewujudannya. Malam semalam yang seharusnya tenang, diganggu oleh komunikasi yang tidak efektif di antara ahli badan yang aku pimpini. Malam itu aku sedar, maksud aku, lebih sedar,
Jika meletakkan harapan pada manusia, nescaya kekecewaan akan datang.
Hari Kerjaya yang julung kalinya diadakan, dimeriahkan dengan kehadiran pelajar-pelajar dari beberapa buah sekolah. Yang aku ingat hanyalah SMAP Kajang kerana ia merupakan sekolah lama naqibah aku yang dahulu. Bercakap mengenainya, ada satu hadiah yang diberikan olehnya, yang sangat aku hargai. Ia ialah sebuah buku. Dalam Bahasa Inggeris pula tu. Tentang dokumentari pula tu. Kalau bukan disebabkan dialah, aku mungkin tidak akan pernah memulakan aktiviti membaca buku jenis ini.

Pada hari ini jugalah, aku belajar definisi 'resume'. Aku tak tahu 'resume' dalam Bahasa Melayu, maaflah ya. Aku juga belajar cara-cara untuk membuatnya. Pada petang tu pula, SEPATUTNYA aku melihat pameran 'booth-booth' di foyer auditorium. Namun, disebabkan acara yang lebih menarik yang akan berlaku, aku meluangkan masa untuk berbincang dengan AJK Latihan Dalam Kumpulan untuk program khidmat masyarakat di sebuah sekolah rendah pada Sabtu ini. 

Aku teruja, serius. Kerana dapat keluar dari Permata, keluar dari Selangor, berjumpa dengan adik-adik yang tak banyak dosa dan dapat pergi ke Cameron Highlands. Tak silap aku, ini merupakan kali ketiga aku pergi ke sana. Ia juga merupakan kali pertama aku ke sana tanpa keluarga. Rasanya, ia merupakan hal yang sama bagi majoriti kawan-kawanku.

Petang itu menyaksikan aku dan rakanku yang lambat pulang ke asrama menjadi 'sukarelawan' untuk mengemas tapak pameran 'booth'. Ikhlas fariha ikhlas. Ikhlas itu susah dicari.
Ia bagaikan semut hitam di atas batu hitam pada malam yang sangat kelam.

Penetapan

Assalamualaikum dan salam 14 Februari
(...)

Perubahan. Kelainan. 
Pernah satu ketika, guruku meminta kami untuk melukis sesuatu objek yang melambangkan diri masing-masing. Kami juga perlu membentangkan sebab-sebabnya. Maka, aku memilih air. 

Kenapa air? Air itu ada di mana-mana sahaja. Dalam udara, badan manusia dan di awan. Apa ciri-ciri air? Ia berbentuk cecair dan cecair tiada bentuk tetap, sentiasa berubah mengikut bekasnya. Air bagi aku, lembut tetapi tegas. Tak lah nak mengatakan aku ada ciri sedemikian tetapi itu merupakan sebab wujudnya kekagumanku terhadap air.

Acap kali aku memikirkannya. Aku sering berubah. Tak dak tetapan. Tak dak penetapan. Ia boleh menjadi kelebihan dan juga kekurangan aku. Aku senang terpengaruh dengan sesuatu pendapat atau ideologi apabila aku tiada tetapan dan prinsip. Apabila dihadiri suatu situasi, prinsip baharu sering muncul. Variasi situasi ini memaksa aku mencari prinsip hidup agar dapat bertindak dengan pantas.

Macam yang aku pernah katakan sebelum ini, aku bersyukur dilahirkan dalam suasana prinsip yang telah ditetapkan. Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam dan mendapat pendidikan agama yang mencukupi. Rukun iman, itu adalah salah satu bentuk prinsip hidup. Tak perlulah aku mencari kebenaran, prinsip itu, sebab aku memang percaya pada agama aku yang satu ini.

Penetapan, aku kena fikirkannya dalam-dalam terlebih dahulu sebelum menetapkannya.