Isnin, 30 Januari 2017

CUTI

Assalamualaikum dan salam cuti CNY

Hari Rabu. Petang ni aku balik. Bangun-bangun daripada tidur, aku sudah ada 'mood' cuti. 
Aku balik petang ni. Sekejap je lagi ni. Lepas koko, terus balik. 
Benda ni terus terngiang-ngiang dalam fikiran sepanjang hari. Walaupun hari Rabu dihiasi dengan subjek-subjek berat, tidak semena-mena ia menjadi ringan dengan 'mindset' atau pemikiran aku 'Aku balik rumah lepas ini'. Agaknya, inilah antara sebab aku kurang berasa stress ketika di bangku sekolah rendah dahulu. Ahh, zaman kegemilangan. Zaman 'innocent'.

Tetapi aku tetap bersyukur dengan keadaanku sekarang. Bila ditengok semula, aku dapat menempuh cabaran-cabaran hidup. Cehwah. Pencapaian juga memberangsankan namun ruang untuk penambahbaikan sentiasa ada. Tak silap aku, salah satu perkataan yang sering dikaitkan dengan Tun Dr. Mahathir ialah
Look Forward. Pandang Ke Hadapan.
Itulah antara ayat yang menjadi ayat penenang dan pengurang perasaan tidak puas hati. Bila ditengok balik, hidup aku tidak seteruk mana. Walau marah, sedih, bengang macam mana sekali pun, masih ada yang lebih berhak untuk rasa perasaan yang lebih teruk daripada aku.

Sekurang-kurangnya kau, aku lahir dalam negara yang aman. Yang tak berperang. Tiada bom terbang di atas kepala. Ada makanan untuk dimakan. Masih diberi peluang untuk menuntut ilmu. Kalau aku senaraikan nikmat yang Allah beri, mau tak cukup masa nak taip,

Aku dapat taip menggunakan komputer riba yang mak aku belikan. Ada yang tak ada komputer riba beb. Ada yang sekarang ni dalam tawanan perang atau culik ke apa ke yang kau, pembaca sekalian dapat fikirkan.

Apa yang cuba aku sampaikan, janganlah bunuh diri. Fikirkan mereka yang mempunyai masalah yang lebih teruk. Ini mengingatkanku kepada ayat ini
Aku suka tempat-tempat yang membuatkan masalahku kelihatan kecil.
Mengembaralah kawan-kawan. Melalui media sosial pun takpe. Tengoklah sekeliling.
Pandanglah ke bawah untuk merasa cukup. Pandanglah ke atas untuk merasa tidak cukup. Kau ada sebab untuk gembira dan sebab untuk terus berusaha.
 Adios.

Peranan Guru

Assalamualaikum dan salam Selasa

Alhamdulillah, aku masih hidup lagi. Tinggal dua hari lagi untuk cuti sempena Tahun Baru Cina.

Semester pertama sebagai Tahap Dua. Ada subjek Kalkulus, Aku masih ingat lagi, subjek yang hanya wujud pada semester kedua pelajar Tahap Satu iaitu linear algebra,,, amat menyeronokkan. Ok, mungkin bukan amat, tetapi ia masih menyeronokkan. Aku kecewa kerana tidak pernah mendapat A+ bagi subjek ini. Aku dapat A- untuk peperiksaan ketiga tahun lepas dan alhamdulillah meningkat ke A pada peperiksaan akhir. Aku kecewa kerana sikap sambalewaku. Ada rakanku yang mendapat A+, maka kenapa tidak aku? Bukan apa, ini sahajalah peluangku untuk buat yang terbaik bagi subjek yang hanya dua kali je kau akan ambil periksa sepanjang di Permata ini. 

Khabarnya, Kalkulus lebih susah dan rumit berbanding L.A. Namun begitu, Alhamdulillah hampir sebulan aku belajar, aku dapat menangkap apa yang diajar oleh cikguku. (tidak seteruk Matematik Tambahan). Hahaha tetapi ini tidak bermakna aku dapat buat baik dalam peperiksaan kelak.

Kenapa aku sentuh tentang Kalkulus? Bukan apa, aku nak cakap pasal cikgu aku tu sebenarnya. Aku suka beliau, cara mengajarnya. Lebih tepat, isi pengajarannya. Oleh kerana Kalkulus ini lebih kepada pengiraan, yang aku tidak faham kenapa, mengapa dan bagaimana formula itu terhasil dan digunakan,,, serba sedikit cikgu aku tu dapat melegakan perasaan 'tak faham' ataupun 'tak puas hati' aku. Aku suka kerana beliau menerangkan bagaimana sesuatu prinsip itu menjadi sedemikian. Menggunakan logik fikiran.

Secara tidak langsung, minat aku terhadap subjek pengiraan ini dapat dipupuk. Seronok sebenarnya belajar benda baru. Yang tidak seronok tu bila kau ambil peperiksaan untuk benda yang telah dibelajar, dan mendapat keputusan kurang memberangsangkan. Siapa suka kalah kan?

Benarlah, kalau jumpa guru yang bagus, maka baguslah juga pemikiran kau. 
Aku benar-benar berharap untuk mendapat keputusan yang memberangsangkan. Bagaimana?

Usaha. Tetapi aku rasa aku tak berusaha pun. Huhu. Aku sedar tetapi tidak memulakannya. Itulah masalah kau, aku, kita semua.

Fizik

Assalamualaikum dan salam Isnin

Hari ini ada subjek Fizik. Salah satu subjek yang ada takhta dalam hati. Rajanya adalah Sejarah. Permaisuri pula adalah Fizik. Hahaha

Salah satu sebab minat aku terhadap Fizik muncul ialah ustazku. Ustaz aku ni, meh aku cerita. Beliau mengajar Tauhid pada tahun 2015 dan 2016. Pergh rindu bak hang nak belajar Tauhid lagi. Disebabkan beliau ini jugalah, aku suka Tauhid. Keinginanku, bak kata orang 'passion'ku untuk belajar mendalam dan mempunyai ilmu-ilmu sebegini meningkat. Alhamdulillah. Ada hikmah aku masuk sekolah ini.

Ustaz aku ni, ajar Tauhid. Kemaskini facebooknya pun tentang ilmu ni, ilmu yang orang awam tak tahu. Pergh aku di'update' kan dengan benda-benda lagha tapi dia, buka facebook je keluar 'update' tentang ilmu ni. Beliau ni belajar Kimia. Pernah sekali beliau 'update' fbnya yang lebih kurang berbunyi
Jikalaulah aku kenal Fizik sebelum Kimia, sudah tentu aku akan menyambung pengajian dalam bidang Fizik.
Aku pun hairan, seronok ke Fizik ni? Setelah aku teliti apa yang telah aku belajar, (bukan setakat belajar ikut buku rujukan ya), aku boleh agak kenapa ada orang suka Fizik. Ia mengagumkan. Ia cuba menjelaskan fenomena alam yang boleh dilihat ataupun tidak,,, dengan menggunakan nombor. Fizik ni boleh digunapakai atau 'applicable'. (Maafla, banyak istilah yang aku tak tahu dalam Bahasa Melayu). Ada satu lagi kata-kata yang aku suka, berkenaan dengan Fizik
Jika anda tidak suka akan Fizik, ia bermakna anda mempunyai guru yang tidak bagus.
 Ayat ini menunjukkan bahawa SEMUA ORANG akan suka Fizik, (sekurang-kurangnya tidak membencinya) jika bertemu dengan guru yang bagus. Fizik ini seronok sebenarnya. Sebab ia mengagumkan. Banyak rahsia alam yang dapat kau temui melaluinya.

Subjek kalau digunakan dengan betul, ia membantu kita untuk lebih dekat dengan Yang Maha Mencipta, Allah. Dan aku rasa Fizik antara subjek yang paling senang untuk mencapai tujuan itu.

Jumaat

Assalamualaikum dan salam Jumaat

Akhirnya, hari Jumaat tiba. Aku teringatkan satu kata-kata yang berbunyi lebih kurang
Sebarang kegembiraan menjelang 'Jumaat' hanyalah menunjukkan anda ialah hamba tanpa sedar kepada sistem sosial yang dipanggil 'minggu'. Hari Jumaat dicipta bagi mengalihkan perhatian anda daripada mesin yang menekan secara senyap. Anda hanyalah seekor hamster di atas roda, terlalu teruja dengan 'Jumaat' sehingga tidak perasan anda berada di dalam sebuah sangkar.
Serba sedikit, aku mula muhasabah akan norma atau kelaziman ini. Normal lah kan kalau orang teruja serta gembira dengan kehadiran Jumaat? Kerana setelah itu, Sabtu dan Ahad pula menyusul. Suatu masa manusia tidak terikat dengan jadual, secara umumnya. Banyak pilihan terbuka pada dua hari itu, banyak aktiviti yang dapat dilaksanakan mengikut kehendak masing-masing. Namun, aku seolah-olah dapat melihat Jumaat ini daripada pandangan baharu. Kata-kata di atas mengingatkan aku kepada
Berusaha demi sesuatu yang kita tidak kisah dipanggil stress. Berusaha demi sesuatu yang kita suka dipanggil 'passion' atau semangat.
Aku mula terfikir, adakah aku tidak suka belajar? Adakah aku tidak suka sekolah? Jika ya, sejauh mana? Jika tidak, sejauh mana? Dalam blog lain aku, aku ada sentuh perihal hobi.
Jikalaulah hobi seseorang ialah belajar, nescaya dia akan sentiasa melakukannya. Baiklah, apa itu hobi? Hobi ialah sesuatu yang kau suka maka kau buat ia apabila kau ada masa lapang. Sebagai contoh, menonton televisyen. Ok, aku pilih contoh yang lebih dekat di hati sebagai pelajar sekolah asrama.

Sebagai contoh, menonton filem. Atau bermain 'games'. Kenapa setiap kali kau ada masa lapang, balik-balik bilik terus main 'games', Bila Jumaat malam ataupun hujung minggu, kau akan cari filem untuk ditonton. Seronok ke? Ya, seronok sebab kau tidak perlu menggunakan banyak tenaga otak untuk melakukannya. Namun, tidak mustahil kawan-kawan. Tidak mustahil untuk manusia mengubah cara berfikir. Wujud je manusia yang suka menggunakan malah melatih otak serta fizikal pada waktu lapang.

Aku cakap begini tidaklah bermakna hobiku memang belajar. Tidak pun. Tetapi ia adalah sesuatu yang aku sedar aku perlukannya. Pupuk hobi yang baik-baik weh. Susah nak ubah tabiat. Tapi takpe, in shaa allah boleh.

Usaha, doa, tawakkal.

Khamis, 19 Januari 2017

Kesedaran Kadang-kala

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ini aku ingin menyentuh pasal kesedaran. Pejam celik pejam celik. Minggu ini sudah hampir sampai ke penghujungnya. Hari Sabtu bakal menjelma. Hanya tinggal satu hari lagi untuk aku tempuhi. Wah, seolah-olah hari sekolah itu bagaikan perang, bukan? Minggu ini... lagi sekali, berjalan terlalu pantas bagiku. Minggu Orientasi Pelajar Baharu. Aku bagaikan tersentak pabila menyedari yang mereka akan memulakan sesi pembelajaran seperti biasa,,, seperti kami semua, mulai Isnin hadapan. Aku bagaikan bukan diriku sejak beberapa hari yang lepas. Mungkin juga ia salah satu sisi yang tidak aku sedari. Mungkin juga ia reaksi spontanku terhadap situasi yang dialami. Dan mungkin juga ia tanda-tanda 'talam dua muka' ku. Hahahaha

Kalian mahu tahu benda apa yang membuatkan ku tersedar? (kalau tak nak pun, aku nak beritahu juga. Kena sampai 300 patah)

Mengantuk. Aku sering mengantuk hari ini walhal aku sudah pun mendapat tidur yang secukupnya. Mungkin kerana tidur ini bagaikan dadah. Sekali kau cukup tidur, semakin kuatlah nafsu tidur kau. Kadang-kadang bagiku cukup tidur mahupun tidak cukup, kesannya hampir kurang sama. AKU TETAP MENGANTUK.

Disebabkan rasa kantuk yang amat melampau, aku muhasabah diri. Siapa aku? Kat mana aku? Macam mana aku boleh belajar kat sini? Macam mana aku boleh jadi Tahap Dua dan mendapat rakan-rakan baharu? Bagaimana keluargaku boleh menjadi sebegini? Aku mula memikirkan tentang kewujudan aku. Aku sudah lama mengetahuinya namun tadi fakta ini menyentak hati serta fikiran sihat aku. iaitu kewujudan aku hanyalah sebahagian kecil dalam hidup ini. (Maksud aku, memang KECIL SEKECIL-KECILNYA) Ini mengingatkan ku tentang satu ayat yang menjadi kegemaran aku.
Aku suka tempat yang membuatkan segala masalah aku kelihatan kecil.
Aku perlu peka serta melihat keadaan sekeliling. Kemiskinan, perang, kematian dan segala musibah yang tidak ditimpakan ke atas aku. Aku bersyukur. Dilahirkan di negara yang aman tiada perang, diberi peluang untuk menuntut ilmu, tak ada haiwan yang mengigit aku masa tidur, diberi kesihatan yang baik, dikelilingi manusia-manusia yang baik dan dapat makan serta minum yang sedap belaka lagi mengenyangkan. Benarlah, kalau kau nak senaraikan nikmat yang Allah bagi, sudah terang lagi bersuluh yang kau tak cukup kertas.

Dengan rasa syukurlah, tekanan yang aku hadapi sebelum ini berkurangan. Aku tak kisah dah tentang pandangan negatif orang asalkan aku fikir yang aku betul. (sesetengah orang je la hahaha)

Alhamdulillah. Aku bukan orang yang paling teruk di atas muka bumi ini.

Rabu, 18 Januari 2017

Geometri

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera

Apa itu jurnal? Jurnal menurut Wikipedia (haha) ialah buku catatan harian tentang peristiwa atau perniagaan. Lebih kurang diarilah. Aku rasa macam nak buat ayat berbunga-bunga sikit petang ni. Ikut piawaian atau 'standard' aku la. Kalau kalian nak fikir negatif, lantak mu ah.

Dahulu, aku sangat, terlalu memikirkan persepsi orang terhadap aku. Oleh yang sedemikian, aku sering berasa tertekan untuk memenuhi jangkaan orang ramai. Namun, kini aku sudah sedar (aku maksudkannya, SEDAR) bahawa diri sendirilah yang menentukan kegembiraan diri. Jika dunia atau situasi atau manusia memberi kau perkara negatif dan dugaan, engkau jualah yang menentukan cara kau menghadapinya. Samada dengan gembira atau tidak. 

Jujur aku katakan yang aku sangat bersyukur  dinamakan Fariha. Setiap kali orang memanggil atau menyebut namaku, dia mendoakan ku kegembiraan. Aku ada banyak sisi atau 'sides'. Kebanyakkannya disebabkan aku 'merancang' personalitiku sendiri. Stress tahu tak. Tapi... kecenderungan aku yang satu itulah yang menyelamatkan ku pada kebanyakkan masa. Menyelamatkan ku daripada perkara-perkara kurang elok, menyelamatkan ku daripada dipandang serong dan dipandang rendah. Ah, aku terlalu fikirkan apa yang bermain dalam fikiran orang lain. Kini, aku cuba tidak terlalu banyak berfikir dan akhirnya berasa tenang. Dengan mengingati Allah jua lah, kita akan memperoleh ketenangan.

Jangan terlalu banyak berfikir. Sebaliknya banyakkan beristighfar. Allah membuka banyak pintu (penyelesaian) dengan istighfar. Tidak dibukakan dengan berfikir.
Walaupun aku tidak berapa setuju dengan ayat di atas, ayat ini tetap menolong aku. Tika aku asyik dengan hal duniawi, aku patut pulang dan mengikut jalan ke Yang Maha Berkehendak.

Kau senyum kerana kau gembira
Kau juga senyum untuk gembira

Ah, aku tertekan sekarang. Ada perkara yang serba kekurangan (memang ya pun hahaha). Aku tidak suka apabila sesuatu itu kurang disebabkan aku walhal ia boleh menjadi baik TANPA kekurangan aku. Ah, 16 tahun hidup ada satu perkara yang membuatkan aku menyesal. Sampai sekarang aku bertangguh untuk memperbaikinya. 
Ah, aku menyesal berkata sedemikian. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Aku patut cakap perkara yang perlu sahaja. Jangan banyak sangat bercakap perkara sia-sia, wahai rakan-rakanku. 

Aku tahu... aku perlu berubah.
Aku tahu... aku patut mulakannya sekarang.
Aku tahu... aku mengabaikan dua ayat di atas.

Selasa, 17 Januari 2017

Firstly Pertama Sekali

Assalamualaikum WBT
Salam sejahtera

Jadi, emm ni pos pertama aku bagi blog kedua aku ni. Blog yang dicipta demi sekolah, demi memenuhi kriteria pelajar yang mendapat 20% 'carrymark'. Jadi, biar aku bagi amaran atau pemberitahuan atau apa2 sahaja yang kalian tafsirkan, 
Aku akan merepek, mengarut dan tulis apa sahaja yang aku fikirkan. Lebih tepat, yang terlintas dalam fikiran aku.

Cikgu subjek Bahasa Melayu aku hanya meletakkan syarat JANGAN BAHASA ROJAK sahaja. Kalian ni tahu tak beza antara bahasa rojak dengan bahasa pasar? Ok, segala apa yg aku tulis ni adalah bahasa pasar, bahasa yang kau selalu dengar dalam perbualan seharian. Sejujurnya, aku kurang gemar malah ada satu tahap dalam hidup aku yang aku benci bahasa rojak iaitu MENCAMPURKAN bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu TERUTAMANYA dalam penulisan.

Wei, kalau kau nak cakap bahasa Melayu, cakap je lah penuh. Tak payah nak campurkan. Tengok2, kau tak tahu apa istilah tu dalam bahasa Melayu. Tak ke memalukan? Sekurang2nya, sekelumit perasaan malu tu patut hadir menghiasi hati kau tu.

Ok, tutup tentang tu. 

Aku teruja sebenarnya menulis pos ni. Lebih2 lagi, aku memang minat menulis apa sahaja yang ada dalam kepala otak aku. Ye la, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, tak ke naya kau nanti? Terlajak taip, boleh delete hahaha. Tah pape logik aku. Maafkan logik aku yang tak begitu munasabah. Aku dapat muhasabah diri, memikirkan apa la yang aku buat selama hampir 16 tahun hidup ni? Kejayaan, dugaan, peluang, cabaran, kawan, keluarga, diri sendiri... semua tu la yang terlintas dalam fikiran aku. Tengok, kalau aku tak buat jurnal harian ni, mau setahun sekali aku ambil masa sejenak memikirkan benda2 ni. Bak kata orang, 'take a moment'.

Penat mak kau, dengan dunia yang semakin pantas ni. Aku rasa 24 jam tu tak cukup. Tapi sebenarnya aku je yang rasa macam tu. Cukup je 24 jam, aku yang tak pandai agihkan masa. Allah dah rancang sebaik2nya. Hmm, aku tak tahu nak taip apa lagi. Sudah ketandusan idea. Padang pasir yang tadi ada tiba2 dah tak ada macam kena ribut angin taufan. Tinggal beberapa butir je untuk mencukupkan 300 patah perkataan. Hahahaha nak beritahu sebenarnya wahai pembaca sekalian, aku kena buat jurnal harian sebanyak 300 patah perkataan. Takpe, baguslah tu. Tak da lah aku terlepas pandang apa2 seharian. Menggalakkan rasa bersyukur pula tugasan ni. 

Oh ok, terlebih 300 pula bila aku kira tadi. Dah nak dekat 400 woi hahaha. Tu je la. Harap kalian dapat motivasi untuk buat aktiviti mengrefleksi diri. Aku tak tahu perkataan 'mengrefleksi diri' tu ada ke tak. Dengar macam salah je haha.